Input geologikal dalam perancangan kejuruteraan untuk pembinaan dan pembangunan struktur utama, adalah penting untuk mengelakkan bencana.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa rekod menunjukkan melalui input geologikal yang baik, beberapa perubahan telah dilakukan pada asas dan rekaan tapak, menghasilkan penjimatan kos pembinaan dan pelaksanaan di beberapa projek kejuruteraan di Malaysia.

"Kita tahu bahawa Selangor adalah satu daripada negeri yang berpopulasi paling tinggi di Malaysia, dan mengalami tekanan pembangunan yang tinggi.

"Kita sentiasa mendengar berita tentang bencana akibat tanah runtuh, keruntuhan struktur, pergerakan tanah, lubang mendap dan lain-lain," titah baginda dalam titah ucapan pada majlis perasmian Program Capaian IGM - Geologi Penting Untuk Jurutera, Kontraktor dan Pemaju, Selasa.

Baginda menggesa peserta industri seperti Institut Geologi Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk menggandakan usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pakar geologi di negara ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini itu akan membincangkan isu tanah runtuh dan penyelesaiannya.

Penceramah persidangan itu termasuk Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo dan pakar antarabangsa dalam kejuruteraan geologi dan kejuruteraan geoteknikal, Kevin Holley.