Insiden bot karam: PDRM bekerjasama dengan Interpol, ASEANPOL kesan sindiket

Bot karam terbabit dikatakan membawa lebih 70 pendatang tanpa izin dan setakat ini mengorbankan 29 nyawa sementara 14 lagi ditemukan selamat. - Gambar fail/Bernama
ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi mengesan sindiket yang dikatakan terbabit dengan insiden bot membawa migran karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Interpol dan ASEANAPOL untuk mengesan sindiket yang terlibat dalam insiden bot membawa migran karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand.
- Sindiket tersebut didakwa beroperasi di beberapa negara jiran selain Malaysia, dengan modus operandi mengumpulkan penumpang sehingga kapal mencapai kapasiti maksimum sebelum berlayar.
- Sebanyak 29 nyawa terkorban dalam insiden tersebut, manakala 14 individu ditemui selamat setakat ini; siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sindiket yang terlibat.
"Kita akan kongsi maklumat atau butiran yang diperolehi untuk cuba mengesan sindiket yang beroperasi di negara-negara jiran dan lihat bagaimana perkembangan seterusnya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Adzli berkata berdasarkan soal siasat terhadap mangsa terselamat dalam insiden itu, mereka mendakwa dikumpulkan di lima lokasi antara Buthidaung dan Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh dan Myanmar untuk menaiki kapal diuruskan sindiket.
Beliau berkata modus operandi digunakan sindiket itu ialah mengumpulkan sebanyak mungkin penumpang untuk dimuatkan dalam kapal dalam kapasiti maksimum sebelum berlayar.
"Kapal ini berlabuh di satu terusan antara dua negara tersebut dan hanya akan berlayar selepas cukup (penumpang) dengan kapasiti maksimum iaitu dalam kes ini, lebih kurang 300 orang. Jadi pelayaran itu sebenarnya mengambil masa lebih kurang dua minggu sahaja," katanya.
Adzli berkata mangsa turut mendakwa bayaran kepada sindiket hanya dilakukan oleh ahli keluarga selepas sampai ke negara ini.
Selain itu, beliau berkata polis turut menemukan beberapa catatan termasuk nombor telefon daripada mangsa terselamat yang disyaki berkaitan dengan ejen sindiket.
Dalam pada itu, beliau berkata soal siasat dan kawad cam terhadap 14 mangsa terselamat mengesahkan mereka sebagai migran dan bukan ahli atau ejen sindiket.
Mangsa terselamat mendakwa terdapat lima individu dipercayai ahli sindiket mengendalikan kapal induk, sebelum mereka dipindahkan ke dua bot lebih kecil ketika sampai di perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meneruskan pelayaran sendiri.
Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Langkawi yang dikatakan membawa lebih 70 pendatang tanpa izin setakat ini mengorbankan 29 nyawa sementara 14 lagi ditemukan selamat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


