Penulis buku perpaduan, Anas Zubedy menyifatkan kekacauan di Plaza Low Yat baru-baru ini sebagai satu pengajaran agar semua pihak jangan cepat melatah dalam membuat sebarang tindakan.

Beliau bagaimanapun sedar bahawa banyak pihak mudah terguris dengan isu-isu seumpama itu.

Jelasnya, sikap 'cepat melatah' sesetengah masyarakat akhirnya merugikan banyak pihak.

"Mungkin boleh kita nak ambil apa yang berlaku di Low Yat ini sebagai satu pengajaran, di mana kita tahu orang kita senang terguris, itu yang paling penting.

"Lain kali kalau perkara seperti ini berlaku, jangan terus 'melompat' atau 'meletup', tetapi cari jalan yang betul kerana kita ada prosesnya," katanya kepada Astro AWANI di ibu pejabat Zubedy Ideahouse di sini.


Pada masa sama, insiden itu juga mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri tanpa menggunakan saluran yang betul.

"Suspek mempermainkan kawan-kawannya, dan ada yang ambil peluang untuk mengapi-apikan lalu menyebabkan isu perkauman berlaku," kata beliau.

Anas juga menyifatkan tindakan kumpulan yang menyebabkan kekacauan di Plaza Low Yat sebagai kurang matang.

"Itu bukan sebab rasisme, tapi sebab kurang matang. Ia jadi situasi perkauman sebab ada orang yang ungkit-ungkit kerana Malaysia ini senang nak bagi orang marah-marah," tambah Anas.

Beliau turut kecewa dengan sikap mereka yang melaungkan "Allahu Akbar" ketika insiden rusuhan yang menurutnya tidak kena pada tempatnya.

"Saya sedih mereka menggunakan laungan 'Allahu Akbar'. Kita suka guna "Allahu Akbar" kalau nak berkasar, tetapi kita tahu Allah itu maha pengasih dan penyayang.

"Kalau kita nak gunakan laungan 'Allahu Akbar', biasakan untuk mengampuni orang, sebagai seorang yang pengasih dan penyayang," ujar beliau.


Jelasnya, penggunaan kalimah "Allahu Akbar" tidak sepatutnya dicemari dengan kekerasan atau keganasan ke atas individu lain.

"Dari segi IS di Iraq, mereka laung 'Allahu Akbar', mereka ambil mesingan lalu menembak anak-anak kecil. Di mulut dia mungkin nama Allah, tetapi dalam hati mungkin sudah dikawal syaitan," katanya.

Terdahulu, Kumpulan Tokoh Melayu (G25) pada Isnin menyuarakan perkara sama berhubung insiden di Plaza Low Yat.

Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Ariffin berkata ahli-ahli politik perlu berhenti bermain dengan sentimen yang melibatkan kaum dan agama supaya insiden sebegini tidak lagi terjadi.