ISTANBUL: Insiden terkandas di kawasan pergunungan di Jepun mencatatkan rekod tertinggi iaitu lebih 3,500 pada 2022 selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan dan laluan mendaki dibuka semula, menurut data polis yang dikeluarkan pada Khamis.

Data Agensi Polis Kebangsaan Jepun yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan peningkatan sebanyak 431 kes berbanding tahun sebelumnya dengan sejumlah 3,015 kes direkodkan, jumlah tertinggi sejak 1961, lapor Agensi Anadolu memetik Kyodo News.

Kawasan metropolitan Tokyo, termasuk tempat mendaki Gunung Takao yang terkenal, menyaksikan peningkatan kes yang dilaporkan, menurut laporan itu.

Daripada mereka yang terkandas, 327 orang meninggal dunia atau hilang, 44 lebih daripada tahun sebelumnya - dengan kira-kira 70 peratus daripada mereka berumur 60 tahun ke atas.

Polis mengesyorkan orang ramai merancang lebih awal dan memantau keadaan cuaca sebelum mendaki bagi mengelak kemalangan selain menggesa pendaki supaya membawa peralatan yang mencukupi.

Menurut data, 1,306 individu mengalami kecederaan manakala 1,873 berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA