KUALA LUMPUR: Insiden jalan raya yang meragut nyawa seorang ibu dan lapan orang anaknya sekali gus di lebuh di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam malam semalam menggemparkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ketinggalan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kesemua yang terlibat dalam kemalangan tragis itu.

Dalam perkongsian terbaharu di Twitternya, Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh golongan beriman dan beramal soleh.

“Keluarga Malaysia, sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat mangsa yang terkorban. Saya juga menyeru kepada pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati ketika menghadapi cuaca yang tidak menentu di negara kita.

"Pandu dengan selamat, ingatlah orang yang tersayang dan ahli keluarga kita yang menunggu kepulangan kita. Al-Fatihah,” katanya lagi.


BACA: 10 maut dalam kemalangan tiga kereta, treler di Lebuhraya ELITE 

Awal hari ini Bernama melaporkan, sepuluh orang maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Norazam berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Razatul Aliah Abd Razak, 16; Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17.

Seorang lagi yang maut ialah mekanik Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.