Skip to main content

Malaysia

Institusi jagaan warga emas jalan terakhir, kerajaan utamakan penjagaan keluarga - Nancy

Nancy Shukri semasa di Persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Foto Parlimen
Nancy Shukri semasa di Persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Foto Parlimen

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengutamakan penjagaan warga emas bersama keluarga, dengan penempatan di institusi jagaan hanya sebagai pilihan terakhir.
  • Pelbagai sokongan disediakan termasuk geran pengubahsuaian rumah, diskaun tambang pengangkutan awam, rawatan kesihatan di rumah dan latihan penjaga.
  • Rang Undang-Undang perlindungan warga emas sedang dimuktamadkan bagi memperkukuh kebajikan serta melindungi mereka daripada pengabaian dan penderaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan penjagaan warga emas bersama keluarga, manakala penempatan di institusi jagaan hanya dijadikan jalan terakhir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan itu selaras dengan prinsip penjagaan berasaskan keluarga atau 'family-based care' dan 'aging in place'.

“Penjagaan terbaik bagi warga emas adalah di samping keluarga tersayang.

“Tanggungjawab menjaga warga emas bukanlah beban yang dipindahkan sewenang-wenangnya.

“Sebaliknya institusi kekeluargaan merupakan benteng utama penjagaan, manakala kemasukan ke institusi jagaan warga emas adalah jalan terakhir,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai sokongan kerajaan kepada penjaga keluarga atau 'family caregivers'.

Rodiyah membangkitkan kos penjagaan warga emas yang boleh membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya anak-anak yang menjadi penjaga utama.

Nancy berkata, kerajaan menyediakan sokongan melalui pelbagai kementerian dan agensi bagi membolehkan warga emas terus tinggal bersama keluarga.

Antaranya geran pengubahsuaian rumah mesra warga emas dan OKU serta diskaun tambang pengangkutan awam antara 30 hingga 50 peratus.

Kementerian Kesihatan pula menyediakan rawatan kesihatan di rumah, penjagaan paliatif serta projek rintis Integrated Care for Older People (ICOP).

KPWKM menerusi LPPKN turut menyediakan program keibubapaan datuk dan nenek serta terapi kesunyian bagi menyokong kesihatan mental, emosi dan hubungan kekeluargaan.

JKM pula melaksanakan program Ritma Kehidupan Harmoni, manakala program Ziarah Kasih dan sukarelawan YKN menyediakan pemantauan serta sokongan emosi kepada warga emas.

Dalam pada itu, KPWKM menerusi Institut Sosial Malaysia menyasarkan latihan kepada 2,000 penjaga warga emas tahun ini.

Latihan itu memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi penjaga bagi memastikan penjagaan berkualiti serta memperkukuh sokongan kepada penjaga keluarga.

Nancy turut memaklumkan penggubalan Rang Undang-Undang berkaitan perlindungan warga emas kini dalam fasa akhir untuk dimuktamadkan.

RUU itu bertujuan memperkukuh kebajikan serta melindungi warga emas daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement