Skip to main content

Dunia

Turkiye dakwa Israel halang penghantaran rumah kontena ke Gaza

Sekatan itu menyebabkan ramai penduduk Gaza terus bergantung kepada khemah kain yang dianggap tidak sesuai untuk menghadapi keadaan cuaca buruk. - Foto fail/AP
Sekatan itu menyebabkan ramai penduduk Gaza terus bergantung kepada khemah kain yang dianggap tidak sesuai untuk menghadapi keadaan cuaca buruk. - Foto fail/AP

Ringkasan AI

  • Turkiye mendakwa Israel menghalang penghantaran ribuan unit rumah kontena ke Gaza untuk membantu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
  • Israel tidak membenarkan penghantaran kerana kontena logam dikhuatiri boleh digunakan Hamas untuk tujuan ketenteraan atau pembuatan senjata.
  • Turkiye akan terus mendesak di peringkat antarabangsa agar bantuan dan kemudahan asas dibenarkan masuk ke Gaza bagi mengurangkan krisis kemanusiaan.
Advertisement

ANKARA: Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, mendakwa Israel menghalang kemasukan ribuan unit rumah kontena yang ingin dihantar Ankara ke Gaza bagi membantu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan di wilayah itu.

Menurut Fidan, kontena berkenaan sebelum ini digunakan untuk menempatkan mangsa gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan kini dirancang untuk digunakan sebagai penempatan sementara bagi penduduk Gaza yang terpaksa hidup dalam keadaan serba daif.

Beliau berkata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, telah mengarahkan supaya unit kediaman sementara itu dihantar ke Gaza secepat mungkin bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang kehilangan kediaman akibat serangan berterusan.

Advertisement

Bagaimanapun, Fidan mendakwa pihak berkuasa Israel tidak membenarkan penghantaran tersebut kerana kontena berkenaan diperbuat daripada logam.

Menurut beliau, Israel berhujah bahan logam itu berpotensi digunakan oleh Hamas bagi tujuan ketenteraan atau pembuatan senjata.

Advertisement

Dalam wawancara bersama penyiar Turkiye, TGRT Haber pada Sabtu, Fidan berkata sekatan itu menyebabkan ramai penduduk Gaza terus bergantung kepada khemah kain yang dianggap tidak sesuai untuk menghadapi keadaan cuaca buruk.

"Keluarga yang dipindahkan terdedah kepada hujan lebat, ribut dan cuaca sejuk. Keadaan ini boleh mencetuskan bencana kemanusiaan yang sama buruk, malah mungkin lebih teruk daripada masalah kekurangan makanan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa keperluan terhadap tempat perlindungan yang lebih kukuh semakin mendesak ketika musim sejuk, terutama bagi ratusan ribu penduduk yang tinggal di kawasan perlindungan sementara.

Fidan turut menyatakan bahawa Turkiye akan terus membawa isu kemanusiaan di Gaza ke saluran diplomatik antarabangsa dan mendesak supaya lebih banyak bantuan serta kemudahan asas dibenarkan memasuki wilayah itu.

Menurut laporan Al Jazeera, krisis kemanusiaan di Gaza terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa apabila sebahagian besar penduduknya masih berdepan kekurangan tempat tinggal, bekalan makanan serta keperluan asas lain susulan perang yang berlarutan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement