KUALA LUMPUR:Semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Sabah kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan beroperasi seperti biasa bagi tempoh 3 hingga 16 Okt ini.

Menurut KPM dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran khas bagi membolehkan semua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas merentas sempadan daerah untuk hadir bertugas supaya operasi institusi tidak terjejas.

"Bagi tujuan ini, Ketua Jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas kepada pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas.

"Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah sekolah bagi membolehkan murid merentas sempadan daerah untuk hadir ke sekolah."

Bagaimanapun, menurut KPM pengoperasian institusi pendidikan di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna tertakluk kepada PKPDB secara pentadbiran yang bermula pada 29 Sept hingga 12 Okt.

Sebanyak 209 sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM di daerah terlibat ditutup berikutan pelaksanaan PKPDB.

"KPM akan terus komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh perintah kawalan rentas daerah ini.

"Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah atau home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid," menurut kenyataan itu.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun menerusi portal rasmi KPM www.moe.gov.my

Pada Khamis, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt.

-- BERNAMA