IPOH: Sebanyak 20 lokasi terpilih di bandar raya ini akan menerima kemudahan WiFi percuma, khusus untuk membantu para pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kemudahan yang disediakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini turut membantu para usahawan untuk mengembangkan pasaran produk mereka menerusi internet.

Menurut Rumaizi, projek pemasangan WiFi percuma di 20 lokasi ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung April ini.

"Kemudahan itu merupakan persediaan awal untuk menjadi antara bandar raya terawal menerima kemudahan 5G.

"Antara lokasi yang akan menerima kemudahan ini ialah Manjoi, Taman Kanak-Kanak, Gerbang Malam, Kinta Height, Kinta Riverwalk, Bercham, Medan Kidd, Menglembu.

"Contohnya Manjoi ini dipilih disebabkan permintaan masyarakat yang ramai dan semestinya kami akan pilih kawasan tumpuan.

"Namun, pemilihan kawasan mungkin akan ditambah mengikut permintaan dan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pelancaran MBIFreeWiFi dan Penyerahan Sumbangan Tablet kepada 10 orang penduduk Manjoi, di Dewan Komuniti Sungai Tapah pada Ahad.

Ujarnya lagi, inisiatif ini juga bagi menjayakan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perak pada 3 Februari lalu.

Kemudahan MBIFREEWIFI ini mampu menampung kira-kira 200 hingga 250 orang dalam satu-satu masa.

"Kawasan liputan adalah 50 meter dari lokasi kemudahan MBIFREEWIFI tersebut disediakan. Kerja- kerja pemasangan sedang dilaksanakan oleh pihak MBI.

"MBIFREEWIFI ini juga merupakan salah satu komponen 'quick win smart-city' untuk menjayakan hasrat menjadikan Ipoh sebuah bandar raya pintar dan MBI sebagai PBT pintar,"katanya.

Terdahulu, Rumaizi menyerahkan sumbangan 10 buah tablet kepada penduduk Kampung Manjoi daripada kumpulan B40 bagi tujuan PdPR.