KAPIT: Kapit bakal mempunyai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu yang akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM150 juta, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ianya akan dibina di sebuah lokasi yang baharu yang akan dikenal pasti kelak.

"Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membantu memudahkan proses mencari tapak yang baharu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Garing, Nanga Miaw, Song selepas melakukan lawatan kerja ke Daerah Kapit dan Song bagi Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas (PPK) Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Kad Pengenalan Diri hari ini.

Menurut Saifuddin, projek itu disasar untuk dilaksanakan pertengahan tahun hadapan selepas proses mengenal pasti dan pengambilan tanah selesai.

Saifuddin berkata IPD Kapit diklasifikasikan sebagai Kategori C dan diketuai Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Timbalan Superintenden dan kementeriannya mengambil maklum permohonan agar IPD Kapit dinaik taraf kepada Kategori B yang akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden.

Katanya pembinaan IPD baharu itu sesuai dengan pertambahan penduduk Kapit dan sebanyak RM318,000 akan diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih di IPD Song.

Sementara itu beliau berkata operasi PPK telah menerima 2,381 permohonan pelbagai kategori sehingga 15 Nov lepas dengan sebanyak 984 permohonan adalah bagi kategori tiada dokumen pengenalan diri dan 837 permohonan di bawah kategori penentuan taraf bagi pemegang sijil lahir Sarawak.

"Sebanyak 23 permohonan lagi berhubung penentuan taraf bagi sijil lahir luar Sarawak, 205 pemegang kad pengenalan sementara (MyKas) dan 28 permohonan pemegang kad pengenalan penduduk tetap (MyPR). Baki 304 permohonan direkodkan sebagai pemegang pasport luar negara dan lain-lain kategori," katanya.

Bagi Zon Kapit yang meliputi Daerah Kapit, Belaga, Song dan Bukit Mabong seramai 2,129 permohon dikenal pasti mempunyai isu penduduk tanpa pengenalan diri.

Saifuddin menyifatkan operasi PPK itu merupakan satu model kerjasama yang terbaik di antara kerajaan negeri dan pusat yang memberikan manfaat kepada rakyat.

-- BERNAMA