KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam merangka pelan kontingensi sebagai langkah proaktif untuk berdepan dengan banjir di daerah berkenaan. 

Justeru, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol memberitahu, pihaknya membentuk dan mengerakkan pelbagai elemen polis bertujuan memantau secara komprehensif di semua lokasi di bawah pemantauan IPD Shah Alam. 

"Ekoran hujan yang tidak berhenti bermula sejak kelmarin, semua elemen penugasan frontliners seperti trafik, unit kereta peronda (MPV) dan elemen rondaan balai-balai Induk serta komuniti digerakkan bagi memantau setiap lokasi banjir secara total enforcement.






"Kesemua mereka perlu melaporkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) yang beroperasi 24 jam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ramsay memaklumkan, seramai 277 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bersiap siaga menerusi pelan kontingensi itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak empat pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Shah Alam.

Antaranya kata beliau, Dewan Kemuning Utama, Sekolah Rendah Agama Padang Jawa, Dewan MBSA Kampung Sungai Kandis Seksyen 36, di Shah Alam dan Dewan MBSA Batu 3 di Subang Jaya yang menempatkan 286 mangsa setakat pukul 4 petang, Sabtu.