PENGELUAR telefon pintar, Apple baru sahaja melancarkan iPhone 14 bulan lepas, tetapi seorang individu telah mengeluarkan AS$39,339 (RM185,719) untuk membeli iPhone generasi pertama yang dikeluarkan pada 2007 dan masih berbungkus dalam kotak asalnya.

Telefon pintar 8GB itu telah dijual oleh LCG Auctions, Ahad lalu.

Peranti itu pada asalnya dijual pada harga AS$599 (RM2,827) pada 2007, namun, selang 15 tahun kemudian, bidaannya dibuka pada harga AS$2,500 (RM11,802).

Pada deskripsinya, telefon itu disifatkan sebagai "ciptaan yang paling penting", merupakan keluaran pertama dari kilang dan berada dalam keadaan sangat baik.

"Kami sudah menjangkakan pembidaan untuk item ini dan ia memang tidak mengecewakan kerana harganya meningkat lebih AS$10,000 pada petang Ahad," kata pengasas LCG Auctions, Mark Montero dalam satu kenyataan.

"Kami mengucapkan tahniah kepada pemenang dan semua pembida kerana menjadikan ini salah satu lelongan paling berjaya dalam sejarah kami," tambahnya.

Apple pertama kali memperkenalkan iPhone pada tahun 2007 dan ia berjaya mencecah jualan jutaan unit dalam masa yang singkat.

Sebagai tambahan kepada storan 8GB, telefon ini juga menampilkan kamera dua megapiksel.

Model asas iPhone 14 yang dikeluarkan baru-baru ini mempunyai storan 128GB dan menggunakan kamera utama 12 megapiksel dengan lensa ultra lebar.