KUALA LUMPUR: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan penurunan kepada 190 setakat 9 pagi ini, berbanding 227 petang semalam.
Perkembangan itu menyaksikan kualiti udara di kawasan berkenaan beralih daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151.
Sementara itu, 57 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala tiada kawasan mencatatkan kualiti udara baik, sangat tidak sihat atau berbahaya.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod catatan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
-- BERNAMA