KUALA LUMPUR: Bilangan stesen pengawasan kualiti udara yang berada pada tahap Tidak Sihat menurun kepada 39 stesen setakat jam 7 malam Selasa berbanding 40 stesen pada jam 6 petang tadi.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), penurunan itu didorong oleh stesen Samarahan di Sarawak yang kembali ke tahap Sederhana dengan bacaan 96.
Pada masa sama, Kota Kinabalu di Sabah kekal sebagai satu-satunya stesen dalam kategori Baik dengan bacaan 46.
Bagaimanapun, Johan Setia di Selangor terus merekodkan bacaan IPU tertinggi negara apabila meningkat kepada 190, iaitu hampir mencecah kategori Sangat Tidak Sihat.
Di Selangor, Klang dan Petaling Jaya masing-masing merekodkan bacaan 168, manakala Kuala Selangor mencatatkan bacaan 166 dan Banting 165.
Di Kuala Lumpur, Cheras kekal tinggi dengan bacaan 180 manakala Batu Muda mencatatkan bacaan 172.
Di Pahang, Jerantut merekodkan bacaan tertinggi di negeri itu dengan 167, diikuti Indera Mahkota di Kuantan (166), Temerloh (165) dan Balok Baru di Kuantan (160).
Di Johor, bacaan IPU menunjukkan perkembangan yang berbeza apabila Segamat meningkat kepada 125 sementara Tangkak menurun sedikit kepada 170.
Kluang pula kekal pada bacaan 100, iaitu paras tertinggi kategori Sederhana.
Sarawak terus menunjukkan peningkatan kualiti udara apabila IPD Serian mencatatkan penurunan bacaan kepada 163, manakala Kuching kekal dalam kategori Sederhana dengan bacaan 86.
Menurut APIMS, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 Sederhana, 101 hingga 200 Tidak Sihat, 201 hingga 300 Sangat Tidak Sihat dan melebihi 300 Berbahaya.
Penduduk di kawasan yang mencatatkan bacaan Tidak Sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti fizikal yang lasak, serta memakai pelitup muka yang bersesuaian dan memantau bacaan IPU semasa melalui APIMS.