Skip to main content

Malaysia

IRAMA dilantik rakan strategik Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, angkat warisan kulinari negara

IRAMA_TB
IRAMA Signature menghimpunkan pilihan hidangan ikonik daripada tujuh restoran lain di bawah jenama IRAMA dengan mengetengahkan gabungan resipi tradisi, seni kulinari dan pengalaman menjamu selera moden.
Advertisement

PUTRAJAYA: Tourism Malaysia melantik IRAMA Signature di IOI City Mall, Putrajaya serta IRAMA Dining Kuala Lumpur di Bangunan Old Malaya, Jalan Raja Chulan sebagai rakan strategik Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (Visit Malaysia Year 2026–2027) dalam usaha memperkukuh pelancongan kulinari negara.

Pelantikan itu mengiktiraf komitmen kedua-dua restoran dalam memelihara, mempromosi dan memperkenalkan warisan masakan Malaysia menerusi pengalaman gastronomi autentik kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

Kerjasama strategik berkenaan selari dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 untuk menarik 35.6 juta ketibaan pelancong dan menjana hasil pelancongan berjumlah RM147.1 bilion.

Kempen itu turut berhasrat meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia menerusi pengalaman autentik, kepelbagaian produk pelancongan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

Pemilik bersama IRAMA Signature dan IRAMA Dining Kuala Lumpur, Ikhwan Siru berkata makanan berupaya menjadi medium untuk memperkenalkan identiti, budaya dan kisah Malaysia kepada dunia.

“Di IRAMA, kami percaya bahawa makanan merupakan medium terbaik untuk menceritakan kisah Malaysia.

“Kami amat berbesar hati dapat mewakili warisan kulinari negara di pentas antarabangsa serta menyokong aspirasi Tourism Malaysia dalam menarik lebih ramai pelawat untuk menikmati keunikan Malaysia Truly Asia.

“Pelantikan sebagai Rakan Strategik Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 merupakan satu penghormatan dan pencapaian yang amat bermakna buat kami,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, IRAMA Signature akan mengetengahkan pengalaman kulinari bertemakan “Warisan Tradisi Melayu” sempena Citrawarna 2026.

Inisiatif berkenaan akan menampilkan hidangan tradisional Melayu yang diberikan sentuhan moden bagi menyesuaikannya dengan selera global tanpa mengetepikan identiti dan warisan asalnya.

Pendekatan itu bertujuan memperlihatkan kemampuan masakan Melayu untuk terus dipelihara dan pada masa sama diperkenalkan kepada pelawat dari ASEAN, Eropah serta negara lain.

Menjelang penganjuran festival tersebut, IRAMA Signature turut menganjurkan majlis santapan warisan eksklusif pada Jumaat yang menghimpunkan 70 ejen pelancongan dan delegasi ASEAN.

Image
IRAMA_INSERT
Antara contoh hidangan yang disediakan di IRAMA Signature IOI City Mall, Putrajaya.

Sesi merasa hidangan yang dikurasi khas itu memberi peluang kepada rakan industri mengenali kepelbagaian gastronomi tempatan untuk dipromosikan sebagai antara tarikan pelancongan Malaysia.

IRAMA Signature menghimpunkan pilihan hidangan ikonik daripada tujuh restoran lain di bawah jenama IRAMA dengan mengetengahkan gabungan resipi tradisi, seni kulinari dan pengalaman menjamu selera moden.

Antara hidangan yang ditawarkan di restoran berkenaan ialah Nasi Kebuli, Udang Galah Masak Lemak Cili Api, Kerabu Mangga Ikan Bilis, dan Wagyu Masak Lemak.

IRAMA Dining Kuala Lumpur pula menawarkan pengalaman gastronomi warisan Melayu dengan sentuhan kulinari Malaysia moden berlatarbelakangkan pemandangan Menara Kuala Lumpur.

Pilihan hidangannya termasuk IRAMA Ayam Percik, Pais Barramundi, Nasi Bunga Telang dan Kerabu Limau Bali yang disusun bagi memperkenalkan keunikan cita rasa Malaysia kepada pengunjung tempatan serta luar negara.

IRAMA Dining mula diperkenalkan di Light Street, Pulau Pinang pada 2019 sebelum cawangan Kuala Lumpur dibuka di Bangunan Old Malaya pada 2022 susulan sambutan terhadap konsep hidangan Melayu autentiknya.

Ditubuhkan di Pulau Pinang pada 2015, Irama Dining Group kini mengendalikan lapan destinasi kulinari di seluruh negara yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan gastronomi Malaysia.

 

Must Watch Video

Advertisement