Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran sahkah ketua perisikan IRGC terbunuh dalam serangan AS-Israel

TB_Seyed Majid Khademi_FB.jpg
Seyyed Majid Khademi (foto) "syahid" dalam serangan yang disifatkan sebagai serangan oleh pengganas Amerika-Zionis yang berlaku pada waktu subuh. -Foto Facebook

TEHRAN: Ketua Organisasi Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Seyyed Majid Khademi, dilaporkan terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel, awal pagi Isnin.

Menurut kenyataan rasmi IRGC yang dipetik oleh agensi berita Fars dan Tasnim, Seyyed Majid Khademi "syahid" dalam serangan yang disifatkan sebagai serangan oleh pengganas Amerika-Zionis yang berlaku pada waktu subuh.

Advertisement

Seyyed Majid Khademi memegang jawatan ketua perisikan IRGC sejak Jun 2025 selepas penyandang terdahulu, Mohammad Kazemi, turut terkorban dalam serangan udara Israel.

Sebelum pelantikan tersebut, beliau merupakan ketua Organisasi Perlindungan Perisikan IRGC sejak tahun 2022 yang bertanggungjawab ke atas usaha kontra-perisikan dalaman.

Kematian Seyyed Majid Khademi dianggap sebagai tamparan hebat kepada kepimpinan risikan tentera Iran di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak.

Sejak kempen serangan bersama AS dan Israel bermula pada 28 Februari lalu, dilaporkan lebih 1,340 orang telah terkorban di Iran, termasuk bekas Pemimpin Agung Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa komander kanan IRGC yang lain.

Pihak berkuasa Iran belum mendedahkan lokasi tepat serangan tersebut, namun mengesahkan bahawa butiran mengenai majlis pengebumian akan diumumkan dalam masa terdekat.

Setakat ini, pihak tentera Israel dan AS tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berhubung operasi yang menyasarkan Seyyed Majid Khademi.

Must Watch Video