KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku menteri kanan mampu membantu Malaysia menangani pandemik COVID-19.

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan jaminan kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi sokongan penuh atas pelantikan itu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kedua-dua pemimpin kanan UMNO itu mempunyai pengalaman dan peranan dalam pentadbiran negara.

"Kami percaya dengan pelantikan ini. Ia sudah pasti memperkukuhkan PN dan memberi fokus kepada negara memerangi pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin.

Kedua-dua pelantikan berkenaan telah disembah maklum kepada Yang DiPertuan Agong Malaysia untuk diperkenankan.