KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kajian terperinci perlu dilaksanakan agar mereka yang layak sahaja dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP, dengan syarat-syarat ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berpandangan, walaupun KWSP adalah simpanan hari tua, tetapi tiada guna jika rakyat tidak dapat meneruskan kehidupan hari ini kerana dibelenggu hutang.

“Kita semua sedar KWSP adalah simpanan hari tua tetapi apakah maknanya memasuki hari tua dalam keadaan muflis, sebagai contoh.

"Keperluan mendesak adalah hari ini bukan sampai kepada tempoh hari tua.

"Oleh itu, Saya, Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN) dan Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) meminta kerajaan mempertimbangkan, kita tak desak atau paksa... tetapi mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan ini untuk mengeluarkan simpanan KWSP.

"Pengeluaran bersasar, jika dibenarkan syarat ditentukan oleh kerajaan," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kesan tidak besar kepada KWSP jika ada pengeluaran seterusnya


Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau percaya pengeluaran tersebut hanya melibatkan jumlah kecil daripada keseluruhan aset di bawah pengurusan KWSP yang kini sudah mencecah hampir RM1 trilion.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan empat pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas KWSP berjumlah RM145 bilion, melibatkan 8.1 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

"Yang terkesan KWSP itu sendiri kerana KWSP menggunakan pelaburan atau simpanan daripada pencarum untuk menjalankan peniagaan mereka. Dengan pengeluaran ini mungkin akan mengurangkan ruang untuk mereka berniaga," jelas Ismail Sabri.

Semalam, Shahidan mengusulkan usul tergempar agar Kerajaan Perpaduan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Ia dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), kerana menurut pandangan Shahidan kerajaan perlu menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar susulan keadaan terdesak termasuk peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.