PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa lebih sejam menziarahi bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, Faridah Hitam di kediamannya di sini, petang semalam.

Faridah, 71, yang pernah berkhidmat di syarikat media terulung Utusan Melayu itu baru-baru ini kehilangan suami, Hassan Abdul Wahab yang meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat jangkitan paru-paru.

Perdana Menteri ke-9 itu meluangkan masa lebih sejam menyantuni bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia itu.

Ismail Sabri secara peribadi mengenali Faridah sejak mula-mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada 2004.

“Beliau (Faridah) banyak membantu saya menyampaikan maklumat dan membantu saya membina karier sebagai ahli politik.

“Ziarah ini sebagai tanda kasih saya kepada beliau dan pengamal media yang lain atas jasa mereka membantu negara,” kata Ismail Sabri kepada Astro AWANI.

Faridah berkhidmat lebih 30 tahun di akhbar terulung Utusan Malaysia bermula tahun 1977 hingga 2008.

Faridah juga pernah menerajui akhbar hujung minggu paling laris jualannya iaitu Mingguan Malaysia pada Januari 2000 sebagai Pengarang selama tiga tahun, dengan jumlah edaran yang pernah dicatat sebanyak lebih 600,000 naskhah.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan beliau pada tahun lalu akan diteruskan pada Ramadan kali ini.

"Program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 dilangsungkan dengan inisiatif berbeza iaitu pada tahun ini fokus kita adalah untuk membantu bekas pengamal media yang kini sedang menghadapi ujian getir kehidupan.

"Insya-Allah, saya akan menziarahi beberapa orang lagi pengamal media yang uzur dan sedang diuji dengan cabaran getir kehidupan," jelas beliau.

Melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan Ismail Sabri pada 2023, sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa telah berjaya diagihkan, dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah.