BAITULMAQDIS: Israel menyuarakan kebimbangan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bersiap sedia untuk mengeluarkan waran tangkap bagi pegawainya atas tuduhan berkaitan dengan pengendalian perang terhadap Hamas.

ICC, yang boleh mendakwa individu dengan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai, sedang menyiasat serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober dan serangan tentera Israel ke atas Gaza.

Sebagai tindak balas kepada laporan media, Menteri Luar Israel, Israel Katz memberi amaran kepada kedutaan Israel untuk meningkatkan keselamatan kerana risiko "gelombang antisemitisme yang teruk".

Katz berkata, Israel menjangkakan ICC mengelak daripada mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai kanan politik dan keselamatan Israel serta menyatakan Israel tidak akan tunduk atau terhalang dan akan terus berjuang.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, sebarang keputusan ICC tidak akan menjejaskan tindakan Israel tetapi akan menjadi berbahaya.

Media Israel melaporkan, pegawai Israel bimbang ICC boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan pegawai atasan lain kerana dakwaan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Gaza.

Mereka berkata, ICC juga sedang mempertimbangkan waran tangkap untuk pemimpin dari Hamas.

Israel bukan ahli ICC dan tidak mengiktiraf bidang kuasanya, tetapi wilayah Palestin telah diterima masuk dengan status negara anggota pada 2015.

Pada Oktober lalu, Ketua Pendakwa ICC, Karim Khan berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa ke atas sebarang kemungkinan jenayah perang yang dilakukan oleh pejuang Hamas di Israel dan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Khan berkata, pasukannya sedang giat menyiasat sebarang jenayah yang didakwa dilakukan di Gaza dan mereka yang melanggar undang-undang akan bertanggungjawab.