ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik terutama permasalahan berkaitan bekalan air termasuk pelan-pelan kontigensi yang dilaksanakan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Tambahnya, pihak yang sering mengkritik pentadbirannya terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah, hanya mahu membina tanggapan buruk kepada kerajaan negeri memandangkan mereka tidak mendapat maklumat sebenar berhubung projek yang dilaksanakan.

"Saya mewarisi kerajaan mereka, (kumpulan ini hanya) cakap pandai, masa mereka (Pakatan Harapan mentadbir) tidak jadi apa.

"Ditangguhkan perlaksanaan projek LRA (selama) dua tahun untuk buat kajian harga, kononnya mereka kata harga mahal, persoal (kewajaran) buat lima LRA (berkenaan).

"(Mereka) kaji, lantik konsultan, bayar... (selepas) kaji-kaji, keluar harga sama, keperluan sama, buat apa tangguh dua tahun?," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Menteri Besar Kedah di Seri Mentalon, Alor Setar.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa cadangan pihak tertentu untuk membina LRA mini di kawasan Kuala Kedah, adalah  tidak praktikal selain menelan kos yang tinggi iaitu sekitar RM13 juta setiap satu.

Tambahnya, rakyat Kedah diharapkan dapat bersabar sedikit masa lagi memandangkan kesemua LRA yang dinaik taraf dijangka siap secara berperingkat bermula hujung tahun ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris menyifatkan ketiadaan pelan penyelesaian jangka pendek dan sederhana dalam isu ketiadaan air khususnya di kawasan Kuala Kedah menjadi bukti kegagalan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi.

Menurut beliau, sikap menyalahkan kerajaan-kerajaan terdahulu dan hanya mengharapkan kepada jalan penyelesaian jangka panjang iaitu pembinaan LRA baharu menjadikan masalah air yang berlaku semakin kritikal saban tahun.