ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris menyifatkan ketiadaan pelan penyelesaian jangka pendek dan sederhana dalam isu ketiadaan air khususnya di kawasan Kuala Kedah menjadi bukti kegagalan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau, sikap menyalahkan kerajaan-kerajaan terdahulu dan hanya mengharapkan kepada jalan penyelesaian jangka panjang iaitu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu menjadikan masalah air yang berlaku semakin kritikal saban tahun.

Asmirul Anuar yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Kedah berkata, beberapa cadangan telah dikemukakannya sebelum ini, namun, perkara itu hanya dipandang sebelah mata oleh pihak terlibat.

Antara cadangan dikemukakan ialah meningkatkan kekerapan penghantaran bekalan air di kawasan terjejas melalui lori-lori yang disediakan Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain membina pam bersaiz besar bagi menyalurkan air ke kawasan penghujung bagi sistem agihan bekalan air seperti beberapa kawasan di Kuala Kedah.

"Kalau dia (Muhammad Sanusi) bercakap (masalah ini akan selesai dalam tempoh) setahun, saya boleh terima, tetapi sudah tiga tahun.

"Semasa saya mencabar dia (Muhammad Sanusi) pada tahun 2020 (berhubung) isu air yang berlaku di Kuala Kedah yang kritikal, saya sendiri buat kenyataan dengan Astro AWANI, masa itu tahun 2020, dia kata 2023 akan selesai isu air, akhirnya (tidak selesai juga sehingga sekarang).

"Atas sebab itu, kita hendak dia sebagai Menteri Besar dan Pengerusi SADA, kena ada perancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang," tegas beliau lagi.

Asmirul Anuar berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Wisma Pakatan Harapan (PH) Kedah, Stargate, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah bekalan air di negeri Jelapang Padi mampu dikurangkan dan diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat sekiranya pertukaran kerajaan negeri tidak berlaku pada pertengahan tahun 2020.

Ini kerana, tegasnya, beberapa perancangan kerajaan PH Kedah yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri itu telah dilaksanakan, namun tidak dapat direalisasikan atas sebab perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, bekas Exco Bekalan Air dan Sumber Air Kedah, Datuk Zamri Yusuf mendedahkan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah ketika ini tidak memahami sistem pembekalan dan pengurusan air dengan betul.

Tegasnya, beberapa masalah lain terutama melibatkan isu pengambilan tanah akan menambahkan kesulitan kepada isu air yang berlaku dan gagal diselesaikan oleh pentadbiran Muhammad Sanusi.

"Masalah pengambilan tanah (ini), selagi tidak selesai, projek (LRA dan sebagainya) tidak boleh jalan, paip yang dari Pelubang ke Kuala Kedah itu, (mereka hanya) boleh tanam di tempat yang dibenarkan tanam (sahaja).

"Tetapi ada 'sangkut' tiga empat lot (sebab isu tanah), nampak sukar untuk selesaikan (walaupun jaraknya hanya) 200 meter.

"Ini akan sebabkan paip (yang akan mengalirkan air ke kawasan terjejas) tidak akan sampai, (dan) air tidak boleh lalu, jadi (ia boleh) diselesaikan (dalam masa) tiga bulan sahaja, kalau ada komitmen dari kerajaan negeri."

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah itu menempelak PH yang memimpin Kedah sebelum ini kerana didakwa menjadi punca kelewatan menaik taraf infrastruktur air di negeri itu.

Menurutnya, usaha menaik taraf infrastruktur air di Kedah dirancang sejak tahun 2010 melalui penubuhan SADA, audit kedudukan semasa dan unjuran keperluan masa depan bekalan air yang sudah dilaksanakan ketika itu.

Kenyataan berkenaan senada dengan Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria yang mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi kerajaan di Kedah, cuai serta lalai dalam menyelesaikan masalah air sehingga menyebabkan rakyat menerima kesannya ketika ini.

Menurutnya, PH dan BN bukan saja gagal membantu rakyat ketika mentadbir Kedah, malah mempersalahkan pula kerajaan negeri ketika ini yang ditadbir Menteri Besar Muhammad Sanusi yang berusaha menyelesaikan isu air.