KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan berkaitan kenyataannya mengenai dakwaan kewujudan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pertuduhan terhadap Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Haim Hilman diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman.
"Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes," katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.
Kumar berkata, setakat ini polis menerima 15 laporan berhubung kenyataan yang didakwa dibuat Haim Hilman dalam satu program di Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.
Katanya, masyarakat juga diingatkan agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Sebelum ini, Haim Hilman menegaskan, beliau tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung dakwaan kemasukan pelajar ke universiti awam menerusi saluran terbuka atau yang diistilahkannya sebagai "pintu belakang."
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan penjelasan berdasarkan data, fakta dan bukti sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.