KUALA TERENGGANU : Susulan isu kekurangan bekalan telur ayam di sesetengah kawasan di Terengganu, penduduk negeri itu tiada pilihan selain membeli telur bergred tinggi.

Masalah itu dikatakan mengakibatkan kos sara hidup harian mereka meningkat sejak beberapa bulan lalu kerana terpaksa membeli juga telur ayam sebagai sumber protein harian keluarga selain ayam.

Salah seorang suri rumah, Nur Illyani Ibrahim berkata, isu ini sekiranya terus berlarutan akan beri impak kepada ‘poket’ mereka terutama ketika harga barangan lain turut naik mendadak.

“Kami tiada pilihan, setiap hari memang nak guna telur. Stok telur biasa sangat susah nak dapat, jadi terpaksalah kami berbelanja lebih untuk beli telur ‘omega’,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Nur Illyani (kanan) bersama Zulaikha (kiri) mahu kerajaan tangani masalah kekurangan telur dalam masa terdekat - Foto Astro AWANI/Hafizi Rosli

Jelas seorang peniaga pula, Zulaikha Zainuddin, mereka kini dalam keadaan buntu, tidak tahu bila isu ini akan dapat diselesaikan.

“Telur sangat penting dalam isi rumah, kami terima pelanggan setiap hari bertanyakan bila bekalan telur akan tiba.

“Kami cuma terima bekalan telur seminggu satu kali sahaja, jadi memang tidak cukup untuk diagihkan kepada pembeli tempatan,” katanya.

Mereka berharap agar kerajaan dapat memandang isu ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan, malah perniagaan mereka.

Bekalan telur ayam masih tidak cukup di Terengganu