KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu bersifat telus dan jelas dalam menerangkan kepada rakyat tentang apa yang perlu lakukan sekiranya darurat dilaksanakan.

Pensyarah Kanan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, perkara itu perlu disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.

"Melihat kepada keadaan semasa, kita boleh mengisytiharkan darurat jika kita mahu tetapi perlu jelas apakah langkah selepas itu.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu beri tempoh masa (time frame) berapa lama darurat (dikuat kuasa) dan sejauh mana pelaksanaan darurat ini mampu rehatkan ahli politik yang boleh dikatakan keterlaluan sejak akhir-akhir ini," katanya ketika ditemubual menerusi Buletin AWANI pada Ahad.

Dalam pada itu, Ummu Atiyah turut berpandangan, kuasa eksekutif yang dimilik Yang di-Pertuan Agong ketika negara mengisytiharkan darurat tidak akan sewenang-wenangnya menggubal undang-undang yang akan memberi tekanan langsung kepada rakyat.

Ini kerana jelas beliau, setiap undang-undang yang dibuat ketika tempoh itu boleh dikekang apabila Parlimen bersidang.

"Dalam konteks Malaysia, Agong ada kuasa tersebut yang dipanggil Ordinan dan undang-undang yang dijalan semasa darurat juga perlu ada pembentangan di Parlimen.

"Oleh itu, undang-undang baharu yang dibuat dalam tempoh itu boleh dikalahkan di Parlimen dan isu kuasa besar kepada eksekutif juga boleh dikekang apabila Parlimen mula bersidang," katanya lagi.