PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyerahkan laporan mengenai isu membabitkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Laporan mengenai isu dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diserahkan Ketua Setiausaha Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 11 pagi.

Dalam sidang media selepas menyerahkan laporan itu, Khairul Dzaimee berkata laporan itu diserahkan kepada SPRM selaras syor dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

"SPRM beri jaminan siasatan adil dan profesional akan dilaksana segera (berhubung isu ini)," katanya.

Ditanya terdapat pegawai HRD Corp digantung susulan penemuan LKAN, Khairul Dzaimee berkata: "Tidak ada. Sekiranya domestic inquiry diwujudkan (barulah) pegawai digantung sementara.

"Oleh kerana ini siasatan oleh SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara".

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong hari ini berkata Kesuma tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Beliau juga tidak menghalang jika ada mana-mana pihak berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi di bawahnya susulan laporan LKAN.

Semalam, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

-- BERNAMA