Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) ditempelak kerana didakwa sengaja mengelirukan rakyat dengan fakta “separuh masak” berkenaan isu viral pemansuhan 3,847 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, kedua-dua pihak seharusnya melakukan kajian dengan lebih adil serta terperinci terlebih dahulu sebelum membuka mulut dan melemparkan tuduhan tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan kononnya pemansuhan hutan simpan itu dibuat secara tergesa-gesa adalah tidak benar kerana keputusan untuk memansuhkan kawasan berkenaan telah dibuat sejak 1998.

“Keputusan telah dibuat pada November 1998 yang melibatkan kawasan seluas 4,469 Hektar di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Pondok Tanjung, Hutan Simpan Bubu dan Hutan Simpan Bukit Larut.

“Ia mengambil masa yang lama kerana proses yang perlu dilaluinya, seperti sukat tanah dan sebagainya. Namun pada penghujung 2017, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kawasan pemansuhan kepada hanya 3,847 hektar,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

BACA: Keluasan hutan simpan Perak yang dimansuh berkurangan - Zambry

Tambah beliau, pemansuhan HSK itu dibuat bagi tujuan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RTB) yang diberi milik kepada rakyat dan juga dijadikan rizab Orang Asli.

“Bahkan, kawasan terbabit memang sudah tiada hasil kerana ia telah lama diterokai oleh pendudukan tempatan, melebihi 40 tahun, dengan tanaman pokok buah-buahan.

"Malahan, sejak 2015 hanya sekali sahaja pemansuhan ini dibuat sehingga hari ini,” kata Saarani.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga telah mengantikan semula pemansuhan itu dengan mewartakan 7,558.31 hektar tanah ke dalam HSK dalam negeri ini.

“Perak mencatatkan pelbagai kejayaan dan menerima pengiktirafan dalam pengurusan hutan. Ini termasuk mempunyai keluasan HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 997,396.11 hektar atau 47.43 peratus daripada keluasan tanah negeri semasa.

“Tidak benar kalau cakap kerajaan negeri hanya tahu memansuhkan HSK sahaja. Jangan hasut rakyat dengan fakta separuh sahaja. Kenapa dia tidak sebut ribuan ekar ditambah untuk HSK dan jutaan ekar yang masih kekal?” soalnya.

Justeru kata Saarani, kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan KUASA dan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Tindakan sama juga mungkin akan diambil terhadap Ngeh yang mendakwa tanah tersebut disyaki diberikan kepada “kroni-kroni” Menteri Besar melalui satu sidang media dibuatnya terdahulu pada Jumaat.

“Kita akan melihat dari segi undang-undang yang diperuntukkan, jika ia didapati mempunyai unsur-unsur berniat jahat, fitnah, manipulasi fakta dan bertujuan untuk menghasut rakyat.

“Berani cakap berani tanggung, berani kerana benar dan mereka juga perlu tanggung jika salah,” kata Saarani.