CYBERJAYA: Majikan diseru supaya lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi syarikat susulan cabaran ekonomi semasa akibat konflik di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekanan kos perlu ditangani dengan pendekatan lebih fleksibel bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta produktiviti syarikat.
Advertisement
“Saya menyeru para majikan agar mempertimbang aturan kerja fleksibel seperti yang telah dilaksanakan dalam sektor awam, termasuk melalui amalan Bekerja Dari Rumah.
“Ini demi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja,” kata Anwar menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, dunia ketika ini sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kos logistik, harga barangan dan rantaian bekalan.
“Sektor swasta tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang telah berubah. It is no longer business as usual.
“Sebaliknya, inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi, dan mencambah nilai tambah serta kemampanan.
“Kerajaan berusaha memperkukuh tatakelola, setiap ringgit dibelanjakan dengan berhemah, ruang ketirisan mesti ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan harus dipergiat,” jelasnya.