KUALA LUMPUR:Mewakili kerajaan Malaysia dan umat Islam negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri menulis surat khusus berhubung isu karikatur Nabi Muhammad SAW oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo kepada Duta Perancis di Malaysia.

Menurut catatan di laman Facebook beliau, Dr Zulkifli memaklumkan surat itu akan dihantar kepada Kedutaan Perancis di ibu negara hari ini. 

Surat berkenaan antara lain menyebut, mewakili umat Islam di Malaysia, beliau percaya kedua-dua negara mempunyai pendirian sama iaitu setiap tindakan keganasan dan ekstremisme tidak mewakili mana-mana agama seluruh dunia.

"Kami sebagai pemimpin dalam komuniti tidak menggalakkan sebarang aktiviti berkenaan.

"Merujuk kepada perkembangan terbaharu melibatkan karikatur Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo, Malaysia kesal dengan insiden itu," katanya dalam surat kepada kedutaan Perancis.

BACA: Isu karikatur Nabi Muhammad: Umat Islam serata dunia protes 

BACA: Suspek penggal kepala guru di Paris merupakan pelarian Chechen

Pada masa sama, sempena bulan kelahiran Rasulullah SAW, Dr Zulkifli menghadiahkan beliau sebuah buku bertajuk al-Shama'il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad ). 

"Bulan Rabiulawal adalah masa terbaik untuk mendapatkan buku ini dan belajar memahami siapa Nabi Muhammad SAW, baik tingkah laku dan amalannya yang indah. Anda hanya akan sayang seseorang jika anda mengenalinya," kata surat itu lagi. 

Malah, surat itu turut menyebut, umat Islam tidak akan bersikap membalas dendam susulan tindakan provokatif karikatur itu, sebaliknya berpegang teguh kepada ajaran Rasullullah. 
 

 
Sumber Facebook drzulkiflialbakri

Terdahulu, Charlie Hebdo yang menjadi sasaran penembak pada 2015, memaklumkan mahu menerbitkan semula kartun kontroversi itu.

Difahamkan, tindakan Itu serentak dengan bermulanya perbicaraan pasangan adik-beradik, Said dan Cherif Kouachi yang didakwa melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar Itu di Paris.