Peminat mana-mana artis, pelakon, penyanyi mahupun personaliti televisyen dinasihat untuk memberi pujian atau kritikan kepada bintang pujaan mereka hanya secara peribadi di laman sosial dan bukan terbuka demi mengelakkan sebarang salah faham atau menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Budayawan, Profesor Dr Siti Zainon Ismail menyifatkan, isu itu akan menjadi besar jika ada kekeliruan akibat singkatan perkataan yang disalah tafsir sekali gus memburukkan keadaan selepas ia menjadi viral dan menimbulkan persepsi negatif terutama di media sosial.

"Masalah ini merupakan isu harian yang memuncak kalau mereka tidak berhati-hati dalam penulisan di media sosial.

"Penggunaan medium media sosial dalam menegur atau memuji boleh menjadi salah faham jika ia tidak dilakukan dengan penuh kesopanan.

"Jangan perli dengan kasar, kita jangan mengusik orang dengan tulisan yang boleh menjadikan salah faham. Paling mudah jika ada pujian atau teguran, sampaikan mesej itu secara peribadi sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Siti Zainon berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu di media sosial mengenai tindakan pelakon tanah air, Nur Fazura Sharifuddin yang mengkritik komen peminatnya menerusi laman Instagram hanya disebabkan tersalah sangka.

Fazura turut mengecam seorang peminat yang meninggalkan komen di Instagram peribadinya yang mengundang kritikan pengguna media sosial hingga menjadi topik perbualan utama di laman sosial Twitter.

Ia terjadi akibat seorang peminat yang meninggalkan komen di bawah sekeping gambar Fazura bersama rakannya yang dimuat naik oleh pelakon itu di Instagram.

Komen yang ditinggalkan peminat itu terpapar ayat 'Mcm kimK yang depan itu' yang disalah erti Fazura sebagai bahasa kesat.

Dalam pada itu kata Dr Siti Zainon, peminat juga harus berwaspada dalam memberi kritikan atau pujian selain tidak memberikan perlian dalam bentuk yang kasar.

"Janganlah jadikan ia sesuatu yang menjadi isu dengan kesalahan pemahanan, semua perlu ada kesedaran dan kasih sayang kepada artis berkenaan.

"Jika jadi begini, ia akan berlarutan dan saya nasihatkan juga jangan sambung menyambung jika ada isu seumpama ini pada masa hadapan," ujarnya.

Sebelum ini, personaliti televisyen popular, Azwan Ali menarik perhatian orang ramai dengan tindakannya memaki seorang peminatnya di media sosial gara-gara salah faham pertanyaan wanita tersebut.

Di laman Instagramnya, seorang pengikut bernama 'sitijuha' bertanya adakah Azwan ada membuat khidmat penghantaran untuk rendang jualannya ke Johor Bahru.

"jb takde ke?" tulis sitijuha.

Namun, soalan tersebut disalah anggap Azwan berikutan penggunaan singkatan ‘jb’ untuk Johor Bahru oleh sitijuha.

Azwan atau Diva AA terus memaki mengandaikan peminat itu mempersendanya dengan mengatakan, "Job takde ke?".