KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berterus-terang sekiranya sekiranya kontraktor utama projek kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard (BNS) pernah meminta komitmen penyenggaraan kapal berkenaan dengan nilai RM53 bilion untuk tempoh 30 tahun.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, selain itu, berdasarkan rekod, BNS juga pernah mencuba untuk menerbitkan sukuk bernilai RM4 bilion bagi membiayai projek tersebut, namun tanpa sebarang cagaran atau jaminan.

Katanya lagi, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu menjelaskan kepada Dewan Negara minggu hadapan, tentang situasi kewangan terkini BNS, serta kemampuan syarikat itu untuk meneruskan projek LCS bernilai kira-kira RM9 bilion.

“Kami ingin memahami apa rancangan kewangan kerana dalam satu cadangan kepada kerajaan tahun lepas, BNS bercadang untuk sukuk bernilai RM4 bilion untuk diterbitkan. Bermakna BNS pergi ke pasaran sukuk untuk meminjam RM4 bilion bagi meneruskan LCS. Tetapi BNS tak ada apa yang boleh dicagarkan atau jaminan.

“Maka BNS meminta kerajaan supaya beri RM53 bilion order book, untuk kerajaan commit atau bersetuju untuk memberi kontrak MRO (perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) atau kontrak senggaraan kepada BNS selama 30 tahun,” katanya kepada Astro AWANI.

Justeru, Chin Tong berkata, Hishammuddin perlu menerangkan kepada Dewan Negara dan kepada rakyat sekiranya BNS masih mampu untuk menghormati kontrak projek tersebut.

Awal hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri telah mencadangkan supaya laporan pengauditan forensik projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Beliau berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.

Selain itu Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan agar laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk disiarkan kepada umum.

Hishammuddin dalam kenyataan susulan berkata, beliau dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan, serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan.

Katanya lagi, beliau dan barisan kepimpinan Mindef tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, selain dua dokumen itu, kerajaan juga perlu menyahklasifikasi sepuluh surat yang ditulis oleh bekas Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

“Surat itu akan menjelas kenapa design Perancis atau Gowind-class tidak patut digunakan. Itu adalah salah satu sebab sejak awal projek ini mengalami masalah kerana pertukaran sistem.

“Pertukaran itu tidak dipersetujui oleh TLDM sendiri, dan mereka tidak dimaklumkan tentang pertukaran reka bentuk, sehinggalah mereka mendapat maklumat itu dari kontraktor, bukan dari Menteri atau Timbalan Menteri ketika itu,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kemajuan projek terganggu ketika Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan pada 2018, Chin Tong berkata, beliau dan Menteri Pertahanan PH ketika itu, Mohamad Sabu dimaklumkan projek tersebut tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Mohamad untuk ditubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang untuk melihat beberapa projek di bawah Mindef, termasuk LCS.

Katanya lagi, mereka telah dimaklumkan BNS telah berhutang dengan jumlah original equipment manufactures (OEM) yang banyak, dan ramai pekerja OEM terpaksa berhenti kerja kerana tidak mendapat bayaran yang sepatutnya daripada BNS.

“Pada bulan Ogos 2019, Tan Sri Ambrin bentang siasatan. Selepas bentang siasatan, Kementerian cuba selesaikan masalah, dan pada 11 Februari, Kementerian bentangkan siasatan dan cadangan untuk selesaikan masalah LCS kepada Perdana Menteri.

“Pada masa itu Dr Mahathir mengarahkan Kementerian untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi menyelesaikan masalah ini.  Tetapi selepas itu kerajaan (PH) telah tumbang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Chin Tong berkata, dakwaan Najib bahawa PH telah menyebabkan kemajuan projek LCS terhenti, tidak lebih daripada sekadar bermotifkan politik.