Skip to main content

Malaysia

Isu Network School: Patuh proses permohonan, siasatan perlu ikut bidang kuasa - Gobind

Sumber: Astro AWANI
Gobind menegaskan sebarang aduan yang dikemukakan perlu disiasat dan tindakan sewajarnya harus diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang ditetapkan. - Astro AWANI
Advertisement

PETALING JAYA: Segala permohonan melibatkan Network School di Forest City, Johor telah melalui proses yang teratur dan disahkan pihak berkuasa berkaitan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan, aspek pelesenan perniagaan serta operasi premis berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Johor, manakala urusan kemasukan warga asing, visa dan imigresen pula tertakluk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Network School ini telah didirikan di Johor sejak 2024. Soal pelesenan perniagaan berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri Johor dan sekolah tersebut telah beroperasi dengan pengetahuan penuh kerajaan negeri.

“Bagi aspek pekerja, visa dan sebagainya, itu semua di bawah bidang kuasa KDN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan lawatan Ke Kampung Sungai Kayu Ara Dan Kampung Chempaka berhubung kejadian tanah runtuh, di Petaling Jaya pada Isnin.

Gobind berkata, Kementerian Digital juga telah menjalankan semakan terhadap perkara berkaitan yang berada di bawah bidang kuasanya dan mendapati semua permohonan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kita di Kementerian Digital telah membuat pemeriksaan dan pemeriksaan menunjukkan semua permohonan itu adalah teratur.

“Perkara itu juga telah disahkan oleh Jabatan Imigresen yang baru-baru ini menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati semua permohonan adalah teratur,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang aduan yang dikemukakan perlu disiasat dan tindakan sewajarnya harus diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang ditetapkan.

“Kalau ada aduan, siasat. Saya tegas dalam perkara ini. Jika siasatan menunjukkan ada masalah, ambil tindakan mengikut undang-undang.

“Tetapi pada masa ini, perkara yang dibangkitkan melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri dari aspek pelesenan dan KDN dari aspek imigresen serta visa,” katanya.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah lesen atau permit operasi syarikat berkaitan Network School di Forest City boleh dibatalkan sekiranya didapati melanggar undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang ditetapkan.

Baginda turut menegaskan Kerajaan Negeri Johor dan PBT akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

 

 

Must Watch Video

Advertisement