Ringkasan AI
- Kerajaan akan melaksanakan penghantaran pulang pelarian Myanmar secara teratur, bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
- Perkara ini dibincangkan bersama SUHAKAM, termasuk aspek keselamatan, tatacara pelaksanaan dan isu kemanusiaan yang perlu diberi perhatian.
- Fasa pertama penghantaran pulang melibatkan kira-kira 1,500 warga Myanmar yang bersetuju pulang secara sukarela dari pusat tahanan.
KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan berkaitan penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal akan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada Isnin bagi bertukar pandangan dan mendapatkan maklum balas berhubung isu pengurusan pelarian.
“Antara perkara dibincangkan termasuk penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal, termasuk tatacara pelaksanaan dan aspek keselamatan, selain perkara-perkara kemanusiaan yang SUHAKAM mohon diberi perhatian.
“Pertemuan seperti ini penting bagi membolehkan kerajaan mendengar pandangan semua pihak, khususnya dari sudut kemanusiaan dalam menangani isu pelarian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi turut berterima kasih kepada Pengerusi SUHAKAM Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus serta pasukannya atas kesudian menerima beliau dan delegasi dalam pertemuan berkenaan.
Pada 29 Sept lepas, Malaysia memulakan fasa pertama program penghantaran pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar, iaitu sebahagian daripada 5,000 individu yang menurut kerajaan bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.
Kerajaan mengambil maklum kebimbangan masyarakat berkaitan pengurusan warga asing termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam dan tahanan imigresen dengan setiap tindakan dilaksanakan mengikut undang-undang serta prosedur ditetapkan.
-- BERNAMA