KUALA KANGSAR : Pergerakan Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis berhubung dua hantaran di media sosial yang disifatkan berbaur fitnah berhubung pemberian telefon pintar percuma oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, kedua-dua hantaran berkenaan dimuat naik oleh aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza dengan menggunakan gambar dan nama Menteri Besar bersama caption berbunyi: "Kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak".

Menurutnya, poster berkenaan menjadi tular serta mengundang kecaman oleh pengguna media sosial kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Saarani bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar-pelajar miskin di Perak.

Bagaimanapun, katanya, selepas merujuk sebuah klip video di laman Facebook rasmi Menteri Besar Perak itu, beliau mendapati ungkapan seperti tertera di poster yang dimuat naik Fahmi adalah tidak benar dan tidak pernah disebut oleh Saarani.

BACA: Lebih baik ada telefon pintar daripada tiada - MB Perak

“Berdasarkan video sidang akhbar Menteri Besar, beliau sekadar memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar yang diberi oleh Yayasan YTL kepada kerajaan negeri Perak untuk disumbangkan kepada pelajar-pelajar miskin.

“Beliau beranalogi untuk menggambarkan adalah tidak manis sekiranya kerajaan negeri menolak sumbangan telefon pintar berkenaan kerana ia diberi secara percuma untuk diagihkan kepada pelajar miskin bagi memudahkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini, petang ini.

Sehubungan itu, kata Mohd Ariff, adalah amat jelas, poster yang dimuat naik oleh Fahmi adalah bersifat fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis agar siasatan dapat dilakukan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Terdahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengecam tindakan beberapa pihak yang menyindir atau memperkecilkan usaha serta sumbangan Saarani dalam membantu meringankan beban rakyat.

BACA: Jangan perkecil usaha Saarani bantu ringan beban rakyat - Faizal Azumu

Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu adalah satu perkara yang tidak beretika serta mengecewakan dari sudut hubungan sesama manusia dan sesuatu kejadian.

Sejak kebelakangan ini, beberapa pihak menyindir usaha kerajaan negeri Perak memberi telefon pintar percuma yang disumbangkan sebuah yayasan kepada pelajar golongan B40 melalui insentif Tuisyen Cikgu Saarani.

Mereka mendakwa telefon itu berkualiti rendah walaupun telah diperjelaskan bahawa ia sesuai untuk program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).