Potensi anak-anak perlu jadi keutamaan bagi ibu bapa dalam proses pembesaran mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata tumpuan kepada potensi yang ada pada kanak-kanak akan membantu mengelak perkahwinan pada usia terlalu muda.

"Jika ini yang diutamakan, sudah pasti ia dapat membantu dalam menghalang kanak-kanak berkahwin pada usia yang terlalu muda," kata Rohani.

Beliau mengambil contoh akses pendidikan di Malaysia dalam memastikan potensi sebenar kanak-kanak dapat dipenuhi.

"Di Malaysia, pendidikan adalah wajib. Jadi, sudah pasti setiap kanak-kanak akan melalui proses pendidikan sehingga umur 18 tahun.

"Jika ini berlaku, mengapa mereka perlu dikahwinkan lebih awal?" soal Rohani.

Beliau ditemui selepas merasmikan pameran foto 'Girl's Voices: Speaking Out Against Child Marriage' di Berjaya Times Square, di sini, hari ini.

Pameran itu dikelolakan Kerajaan Kanada dengan kerjasama gabungan badan bukan kerajaan, Girls Not Brides yang akan berlangsung sehingga 28 Februari.