KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan Muhammad Sanusi selaku plaintif melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 3 Ogos lalu.

Muhammad Sanusi turut mendakwa defendan yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin Nasution menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada jam 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Ia sempena kempen politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kedah (PRN) pada 12 Ogos ini.

Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin Nasution mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik, yang mendapat liputan luas media.

Beliau mendakwa, kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya, dia adalah seorang pencuri dan terbabit dalam kegiatan kecurian hasil bumi negeri Kedah serta mengkhianati penduduk negeri itu dengan mengaut hasil bagi tujuan kepentingan peribadi dan wang ringgit.

Tambahnya, ia juga membawa maksud dirinya seorang yang korup, tidak beramanah, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai serta terbabit dalam isu serta permasalahan tatakelola yang serius dalam pentadbiran negeri itu.

Ia juga bermaksud beliau tidak mengambil peduli, tidak mengambil berat, tidak menghormati dan tidak mengendahkan peraturan serta undang-undang yang terpakai berhubung pengeluaran hasil bumi.

Jelasnya lagi, kata-kata fitnah yang disebarkan dan disiarkan oleh Saifuddin Nasution secara terus kepada rakyat negeri Kedah yang hadir pada program itu adalah tidak benar sama sekali.

"Kompaun RM500,000 yang dikeluarkan Pengarah Tanah dan Galian Kedah bukan atas dasar kesalahan saya mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI adalah pemegang permit penggunaan ladang hutan.

"Kompaun itu dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang melakukan aktiviti pencerobohan dan kegiatan mencuri unsur nadir bumi di ladang hutan berkenaan.

"Pihak ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan sudah pun menjelaskan kompaun terbabit. Ia tidak pernah ditujukan secara khusus kepada saya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi juga berkata, Saifuddin Nasution turut memberi kenyataan dan menjawab persoalan media selepas hadir pada program Majlis Penyerahan Zakat Wakalah Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 14 Julai lalu.

Dalam temu ramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa defendan mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS.

Beliau menegaskan bahawa dia tidak pernah menyalah guna atau menggunakan sebarang peruntukan MARRIS bagi tujuan selain daripada yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang terpakai sepanjang tempoh menjawat jawatan Menteri Besar.

Menurut Muhammad Sanusi, peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan masih berada dalam simpanan tetap Kerajaan Negeri Kedah seperti mana dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Katanya, reputasi beliau sebagai seorang pemimpin politik telah tercemar dan tercalar di mata masyarakat umum dan dipandang serong oleh masyarakat dan ahli-ahli politik berikutan dua kenyataan fitnah terbabit.

"Tindakan defendan yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya adalah jelas dan nyata sebahagian daripada bahan kempen beliau dan serangan politik bagi memburuk-burukkan Perikatan Nasional supaya ia dapat memberikan kelebihan kepada kempen PH, BN dan PKR dalam PRN Kedah.

"Defendan mempunyai peluang untuk berhubung secara terus dengan saya bagi mendapatkan penjelasan fakta atau melaporkan apa-apa salah laku kepada pihak berkuasa untuk siasatan, sebaliknya memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat dakwaan kepada masyarakat tanpa sebarang usul periksa dan tanpa apa-apa bukti.

"Adalah jelas perbuatan defendan berniat jahat yang dirancang untuk memberi kelebihan kepada beliau dan parti politik beliau, tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada saya mengenai fakta sebenar," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menuntut daripada Saifuddin Nasution, antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, dan perintah injunksi kekal bagi menghalangnya daripada menerbitkan kenyataan fitnah berkenaan.