TUMPAT: Tiga perkara utama termasuk tuntutan royalti petroleum merupakan antara perkara yang diberikan perhatian dalam perbincangan antara kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Kelantan yang diwakili Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu.

Selain tuntutan royalti, isu air dan juga hal-hal berkaitan pembangunan juga turut diberikan tumpuan, kata Mustapa.

“Tiga isu dibangkitkan iaitu (royalti) petroleum, air dan pembangunan di Kelantan. Semua perkara itu sedang diselaras dan kita sedang membincangkan di peringkat yang sesuai. Ia sedang dipertimbangkan” jelas beliau.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan masalah miskin tegar semasa mengadakan lawatan dan menyantuni golongan berkenaan di sekitar Kampung Kelong di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wartawan mengenai isu tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Kelantan akan memohon penjelasan lanjut daripada kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai pembayaran royalti petroleum.

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri memandang serius jawapan bertulis Tengku Zafrul di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dilihat tidak selari dengan pendirian kerajaan Persekutuan.

Ahmad berkata, untuk rekod kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan kerajaan akan memansuhkan program wang ihsan dan menyalurkan bayaran tunai petroleum terus kepada kerajaan negeri.

Sementara Tengku Zafrul pula berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri termasuk Kelantan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, keputusan itu buat berikutan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.