KUALA LUMPUR: Masyarakat harus mengelak daripada melakukan tindakan provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama di Malaysia.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Hasbie Muda, menyeru orang ramai berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak mengeruhkan keadaan.
Advertisement
“Isu melibatkan rumah ibadat sentiasa bersifat sensitif dan mudah mencetuskan polemik perkauman sekiranya tidak ditangani dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya menerusi siaran media pada hari ini.
Beliau mengulas isu perobohan struktur kuil di Rawang serta penahanan empat individu yang disyaki terlibat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Hasbie turut menegaskan pendirian Pemuda Amanah yang tidak bersetuju secara mutlak dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan atau kelulusan undang-undang.
Namun pihaknya berpendapat bahawa tindakan penguatkuasaan tidak boleh dibuat secara sendiri tanpa melalui saluran undang-undang yang sah, dan harus diserahkan kepada PDRM dan agensi berkaitan.
“Pemuda Amanah mengakui keresahan masyarakat Melayu-Islam berhubung isu rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan, namun penyelesaiannya mesti melalui lunas undang-undang dan semangat keharmonian,” katanya.
Pada masa sama, Hasbie juga menyambut baik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan proaktif dalam memantau isu berkenaan.
“Ketegasan institusi Raja dalam soal pematuhan undang-undang ini wajar dihormati dan dijadikan panduan oleh semua pihak,” katanya.
Hasbie menyeru umat Islam di Malaysia mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW yang tetap berlaku adil dan berakhlak tinggi dalam berhadapan dengan golongan musyrikin.
Beliau mengambil contoh peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang memperlihatkan kebijaksanaan baginda mengutamakan perdamaian dan memilih untuk tidak bersengketa dengan kaum Quraisy demi faedah lebih besar walaupun hak menunaikan umrah di Makkah ketika itu milik kaum Muslimin.