PENYANYI dan penyampai televisyen Mimie Haris, 36, mengumumkan beliau kini sah bercerai dengan suaminya, Khairril Anuar Md Dahilin, sekali gus menamatkan perkahwinan ketiganya yang bertahan hampir empat tahun.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran di Threads pada Khamis.
Advertisement
Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris berkata, beliau dan bekas suaminya memilih untuk membawa haluan masing‑masing secara matang sambil memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh sebenar perceraian mereka.
“Untuk mengelakkan fitnah dan salah faham pada masa akan datang, saya sudah tidak mempunyai apa‑apa hubungan lagi dengan bapa kepada anak saya.
"Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Mimie turut memaklumkan bahawa tempoh idahnya telah tamat, dan pengumuman tersebut dibuat sekadar menjelaskan status semasa hubungan mereka.
Mimie dan Khairril mendirikan rumah tangga pada 16 Oktober 2022 dan dikurniakan dua anak lelaki.
Sebelum ini, Mimie pernah berkahwin pada 2015 dan 2020, namun kedua‑dua perkahwinan tersebut tidak bertahan lama.