KUALA LUMPUR: Polis akan merekod keterangan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang dikatakan membuat tafsiran sendiri mengenai ayat al-Quran dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

"Saya sahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman menyiasat kes ini.

"Kita akan rekod keterangan beliau (Howard Lee) dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan asal atau laporan pertama mengenainya dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur selain satu laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak pada Khamis.

Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud dilapor berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard kerana dianggap menghina agama Islam memandangkan ahli Parlimen itu bukan Muslim, namun bertindak menafsirkan ayat di dalam al-Quran yang sekali gus turut menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).

Selain itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Perak turut menyifatkan Howard sebagai kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 Surah An-Nisa.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian