Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin tidak akan memohon maaf daripada Nga Kor Ming susulan tindakannya memanggil Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu sebagai Taliban.

Kejadian itu berlaku semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen Khamis lalu.

“Dia suruh saya minta maaf. Saya tak akan minta maaf sehingga Nga Kor Ming minta maaf pada semua ahli UMNO dan PAS kerana panggil kita semua Taliban.

“Saya tahu Taliban. Kami ini sangat jauh daripada Taliban, tapi dia boleh cakap macam itu kerana nak mencetuskan ketegangan antara kaum,” katanya.

Khairy berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di di Bilik Gerakan Pekan Sagga, Rantau pada Sabtu.

Turut hadir ialah calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu ketika berkempen di sebuah pasar pagi ketika PRK Cameron Highlands, beliau telah menuduh bahawa kerjasama UMNO dan Pas boleh menyebabkan permusuhan agama.

Kor Ming turut mendakwa Malaysia akan menjadi Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerajaan.

“Timbalan Speaker Dewan Rakyat Parlimen negara kedudukan yang tinggi yang mulia, jawatan yang mulia kata kalau menang negara ini akan menjadi negara Taliban.

“LGE (Lim Guan Eng) kata apabila PAS dan UMNO bergabung tanda pengisytiharan perang dengan bukan Melayu.

“DAP dulu kerjasama dengan PAS. Dia lupa? PKR pun kerjasama dengan PAS. Saya tak mahu main isu sentimen kaum. Bukan guna retorik kaum untuk takutkan orang bukan Melayu,” katanya.