Isu tular 'Yeye': TDM tingkat penguatkuasaan, teguhkan komitmen integriti

Siasatan dalaman akan dijalankan terhadap setiap aduan dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan serta undang-undang sedia ada.
KUALA LUMPUR : Tentera Darat Malaysia (TDM) akan melaksanakan penguatkuasaan berterusan di semua pasukan, formasi dan pusat latihan sebagai langkah tegas membendung sebarang isu integriti serta aktiviti tidak bermoral dalam kalangan warganya.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, siasatan dalaman akan dijalankan terhadap setiap aduan yang diterima dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan serta undang-undang sedia ada sekiranya individu terlibat didapati bersalah.
Langkah itu termasuk pemantauan berterusan serta peringatan berkala oleh pemerintah di setiap peringkat, selaras dengan pendirian kepimpinan baharu TDM yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan pegawai mahupun anggota.
“Tiada toleransi akan diberikan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam salah laku yang mencemarkan imej TDM.
"TDM memandang serius isu tular yang dikaitkan dengan budaya 'Yeye' dalam pasukan sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap institusi ketenteraan negara,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah pencegahan jangka panjang, TDM turut melaksanakan pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat formasi. Pada masa sama, aktiviti keagamaan dan kerohanian akan dipergiat bagi membentuk jati diri warga yang berdisiplin, profesional serta berintegriti.
Kepimpinan TDM menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan institusi itu kekal diyakini, dihormati dan disokong rakyat melalui amalan integriti serta profesionalisme tinggi demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memandang serius dakwaan tular di media sosial berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera.
Kementerian turut memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman secara segera dan menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.
Menurut kementerian, dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan sebenar ATM yang selama ini berteraskan disiplin tinggi, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


