KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai enam perkara yang perlu anda ketahui berkenaan tahanan pegawai agensi penguat kuasa di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima rasuah.

1. Pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan reman selama tiga hari kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

2. Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek, selepas itu pegawai tersebut diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut.

3. Lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan. Jumlah pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih yang melibatkan penyitaan lapan bidang tanah, dianggarkan kira-kira RM3.1 juta.

4. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

5. SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Sakijan untuk membantu dalam siasatan ini.

6. Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.