SEPANG: Lebih 700,000 warga emas yang belum menerima vaksin dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan diselesaikan pada Julai ini.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata keyakinan itu berdasarkan tambahan perolehan vaksin yang tiba di negara ini.

“Dalam bulan Julai ini insya-Allah akan dapat selesaikan semua (vaksinasi) warga emas.

“(Isu ini berlaku) sebab bekalan vaksin,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan satu juta dos vaksin AstraZeneca disumbangkan kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy memaklumkan 729,343 atau kira-kira 25.6 peratus warga emas yang mendaftar untuk Fasa 2 PICK masih belum menerima walau satu dos suntikan vaksin.

Sejumlah 2.12 juta daripada 2.85 juta warga emas yang mendaftar di bawah fasa itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, keputusan sama ada memberikan atau tidak pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada golongan remaja telah diputuskan.

Katanya, perkara itu akan dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Jumaat atau awal minggu depan.

“Ada beberapa perkara teknikal yang perlu kita perhalusi dahulu tetapi keputusan dah dibuat cuma nak maklum kepada orang ramai, kita akan keluarkan kenyataan bersama,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mempertimbangkan semula keputusan memberikan vaksin Pfizer kepada golongan remaja susulan laporan berlaku insiden kesan sampingan radang jantung dalam kalangan penerima terutamanya remaja lelaki.

BERITA LANJUT MENYUSUL