Skip to main content

Malaysia

J-KOM fokus media sosial 70 peratus, sasar perangi naratif palsu

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali (dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat reruai pada Majlis Perasmian Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Perai @ Batu Kawan 2026 di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng hari ini. - fotoBERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali (dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat reruai pada Majlis Perasmian Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Perai @ Batu Kawan 2026 di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng hari ini. - fotoBERNAMA

Advertisement

SEBERANG PERAI: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kini memberi tumpuan lebih besar kepada media sosial iaitu meliputi 70 peratus daripada usaha komunikasinya bagi memastikan mesej dan pencapaian kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat, sekali gus memerangi naratif palsu.

Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata perubahan pendekatan itu penting memandangkan media sosial kini menjadi antara saluran utama masyarakat mendapatkan maklumat.

Beliau berkata baki 30 peratus pula akan melibatkan program dan aktiviti lapangan seperti Program MADANI Kita (PMK) yang membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

“Kita melihat tanpa menguasai media sosial, mesej kerajaan tidak akan sampai ke akar umbi, selain daripada program macam PMK ini.

“PMK juga adalah inisiatif untuk menerangkan dasar dan kejayaan kerajaan terus kepada rakyat iaitu ke akar umbi. Ini kerana mesej (negatif) yang timbul di media sosial membuatkan penyampaian dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat di bawah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian PMK Bersama-sama Komuniti Perai @ Batu Kawan 2026 di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merasmikan program yang dihadiri hampir 2,000 pengunjung berbilang bangsa itu, setakat pagi ini.

Mohd Hisyamuddin berkata pendekatan itu juga bagi memastikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat bukan bersifat sehala, sebaliknya membolehkan pandangan serta keperluan masyarakat disampaikan kembali kepada pihak kerajaan.

“PMK yang dilaksanakan di seluruh negara ini turut berperanan sebagai platform mendekati rakyat serta mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai dasar dan prestasi kerajaan. Setiap peserta program biasanya akan mengisi borang tinjauan bagi membolehkan J-KOM mengenal pasti pandangan rakyat selain meneliti perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, PMK Bersama-sama Komuniti Perai @ Batu Kawan hari ini menyaksikan 37 jabatan dan agensi terlibat sebagai pempamer bagi menyediakan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan, bantuan, kemudahan dan inisiatif kerajaan di satu lokasi

Antara pengisian program termasuk Jualan Rahmah MADANI, Program Jom Tukar Topi Keledar, pertandingan e-Sukan NADI, sukan rakyat, senamrobik dan zumba, selain persembahan kebudayaan serta seni mempertahankan diri seperti wushu, silat dan silambam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement