KUCHING:Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melancarkan Unit Pengesanan Udara Sarawak (SADU) yang beroperasi berasaskan teknologi "remote sensing" menerusi penggunaan Teknologi Hiperspektral pertama di Malaysia.

Teknologi ini akan dimanfaatkan bagi operasi udara antaranya pemetaan, mengesan kebakaran hutan dan pembalakan haram.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, JHS sebagai pelopor teknologi hiperspektral dalam kalangan agensi kerajaan di Malaysia mempunyai keupayaan dan kemahiran menggunakan sistem udara berteknologi canggih.

“Pelaksanaan projek ini amat signifikan kerana perkongsian aset, kepakaran dan sumber dikembangkan ke seluruh negara.

“Perolehan projek sistem udara ini dilaksana secara turnkey (design dan build) dengan tiga buah negara.

"Austria sebagai pembekal pesawat udara, Finland sebagai pembekal sensor hiperspektral manakala Kanada sebagai pembekal sensor pemantauan udara”.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa pelancaran SADU di Pangkalan Operasi Sistem Udara di Hangar Hornbill Skyways di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh

Bagi mengatasi masalah pembalakan haram di Sarawak, kumpulan tenaga kerja mahir ini mewujudkan satu gerak kerja di bawah inisiatif COMOS yang sentiasa responsif dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan dan pemantauan udara sekali gus dapat menyalurkan segala maklumat diperlukan.

Untuk rekod,SADU diberi mandat oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2014 untuk membantu dalam membanteras aktiviti pembalakan haram di Sarawak sehingga sekarang.