Jabatan Imigresen tegas banteras amalan 'duit kopi' di pintu masuk negara - KP

Zakaria berkata jabatan itu sentiasa terbuka menerima aduan orang awam mengenai isu itu, sama ada melalui talian telefon atau saluran whistleblower yang disediakan dalam laman web rasmi jabatan. -Foto fail /Astro AWANI
KOTA BHARU: Walaupun jumlahnya dianggap kecil, namun amalan 'duit kopi' di pintu masuk sempadan boleh memberi ancaman besar kepada keselamatan negara.
Justeru, Jabatan Imigresen (JIM) bertekad membanteras amalan itu dan memberi jaminan setiap dakwaan penerimaan sogokan kecil melibatkan pegawai dan anggotanya akan disiasat secara telus, dengan tindakan tegas menanti termasuk rujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata jabatan itu sentiasa terbuka menerima aduan orang awam mengenai isu itu, sama ada melalui talian telefon atau saluran whistleblower yang disediakan dalam laman web rasmi jabatan.
"Setiap aduan akan diteliti oleh Bahagian Integriti berdasarkan maklumat diterima, dan siasatan akan dijalankan terhadap pegawai yang diadu.
"Sekiranya terbukti pegawai berkenaan menerima sogokan sebagaimana didakwa, kes akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan perundangan selaras dengan Akta SPRM 2009," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Selain itu, Zakaria berkata Unit Pematuhan Bahagian Integriti pada peringkat ibu pejabat dan negeri turut melaksanakan pemeriksaan mengejut secara berterusan di lokasi sensitif sebagai langkah pencegahan.
Mengulas kebimbangan bahawa isu integriti di sempadan boleh menjejaskan reputasi keselamatan negara pada mata pelancong dan rakan antarabangsa, Zakaria memberi jaminan perkara itu ditangani melalui pelbagai inisiatif, merangkumi dasar kerajaan serta langkah operasi JIM.
"Antaranya adalah penegasan integriti sebagai satu Nilai Teras Keselamatan Negara di bawah Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, yang mengiktiraf integriti sebagai komponen kritikal untuk memastikan kelangsungan Malaysia sebagai negara berdaulat, aman dan sejahtera.
"Imigresen turut melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah sejak 2017 selaras dengan dasar antirasuah kerajaan, selain dipilih oleh Institut Integriti Malaysia sebagai antara agensi rintis bagi pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans dalam usaha memartabatkan agenda integriti dan tadbir urus sektor awam," katanya.
Dalam pada itu, menurut JIM dakwaan pegawai jabatan itu yang disyaki terlibat dengan sindiket pengurusan pendatang hanya dipindahkan tanpa siasatan lanjut, perkara ini satu salah faham.
Menurut jabatan itu, tindakan pemindahan ialah langkah pencegahan awal bagi menghalang pegawai terbabit daripada terus mempunyai akses kepada perkara yang sedang disiasat, sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Selepas siasatan dalaman selesai, prosiding tatatertib akan dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau pegawai berkenaan boleh didakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


