Skip to main content

Malaysia

Jabatan Perikanan salur lebih RM3.32 juta bantu usahawan, komuniti nelayan zon Selatan

MELAKA, 26 Julai -- Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain (dua, kiri) menyampaikan cek cura Bantuan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Pengembangan Perikanan kepada salah seorang wakil pada majlis Penutup Program Karnival Usahawan myAP dan myKP Zon Selatan serta Pesona Rasa Akuakultur 2026 sempena Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.
Adnan (dua, kiri) menyampaikan cek cura Bantuan Program SpeKS Pengembangan Perikanan kepada salah seorang wakil pada Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MELAKA: Jabatan Perikanan memperuntukkan lebih RM3.32 juta menerusi pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan perikanan, penternak akuakultur dan komuniti nelayan di zon Selatan tahun ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata daripada jumlah itu, RM348,170 disalurkan menerusi Bantuan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Pengembangan Perikanan kepada peserta myAgropreneur Perikanan (myAP) dan MyKomuniti Perikanan (myKP) bagi kawasan berkenaan.

"Sebanyak RM2.956 juta lagi diperuntukkan menerusi Bantuan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Akuakultur kepada 89 pengusaha akuakultur di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi menyokong pelbagai aktiviti penternakan termasuk ikan keli, tilapia dan udang.

"Jabatan Perikanan juga menyalurkan bantuan bernilai RM22,317 meliputi kelengkapan seperti ves keselamatan, beg dan lampu suluh kepada Ketua Jaringan Perikanan dilantik sebagai wakil jabatan di peringkat komuniti nelayan bagi membantu menyampaikan maklumat, memberi khidmat nasihat serta menyokong usaha pemeliharaan sumber perikanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Karnival Usahawan myAP dan myKP Zon Selatan serta Pesona Rasa Akuakultur 2026 bersempena dengan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.

Adnan berkata Karnival myAP dianjurkan bagi membangunkan usahawan perikanan yang terbabit dalam aktiviti pemprosesan hasil perikanan menerusi penghasilan produk nilai tambah seperti keropok lekor, keropok keping, pekasam, ikan salai, bebola ikan dan kek ikan.

Beliau berkata Karnival myKP pula bertujuan menghargai sumbangan komuniti perikanan di Zon Selatan yang membantu pengurusan sumber perikanan di samping melaksanakan projek ekonomi berskala kecil bagi meningkatkan pendapatan ahli komuniti.

Sementara itu, beliau berkata Program Persona Rasa Akuakultur 2026 diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan industri akuakultur yang merekodkan pengeluaran kira-kira 511,000 tan metrik setahun, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pengeluaran perikanan negara.

Katanya program itu turut mempromosikan spesies ikan akuakultur seperti tilapia dan keli, selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai potensi industri berkenaan.

Pada majlis sama, tiga ladang akuakultur di Melaka yang melibatkan ternakan ikan keli, tilapia dan udang harimau turut menerima Pensijilan Malaysian Good Aquaculture Practices (myGAP).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement