PENGASAS Alibaba, Jack Ma berada di Eropah untuk beberapa siri pertemuan perniagaan, perjalanan pertamanya ke luar negara dalam tempoh lebih setahun.

Beliau yang juga bekas pengerusi Alibaba Group Holding itu kini berada di Sepanyol untuk sesi lawatan berkaitan bidang pertanian dan teknologi serta isu-isu alam sekitar, lapor South China Morning Post.

Sebelum terbang ke Eropah, Ma berada di Hong Kong untuk menghabiskan masa bersama keluarganya, kata sumber kepada portal berkenaan.

Jurucakap Alibaba bagaimanapun enggan mengulas mengenai perjalanan Ma, dan memaklumkan beliau tidak lagi terlibat dalam operasi harian syarikat itu sejak bersara pada September 2019.

BACA: Selepas berbulan menghilangkan diri, Jack Ma dilapor 'muncul semula' di Hong Kong

China memulakan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba pada Disember lalu, selepas dikatakan terbabit dengan amalan monopoli, kata Pentadbiran Negara bagi Peraturan Pasaran.

Sejak itu, Ma semakin jarang muncul di khalayak, sebaliknya hanya muncul dalam persidangan video dan mesyuarat penting.

Kali terakhir Ma muncul di khalayak ialah di pejabat Alibaba di Hangzhou pada Mei lalu, semasa hari terbuka tahunan syarikat bersama pekerja.

Awal bulan ini, beliau dilapor membuat kemunculan semula di Hong Kong untuk bertemu rakan-rakan perniagaannya.