awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Kerajaan mahu setiap kampung dibangunkan ke tahap terbaik
Cubaan seludup mata wang asing RM2.4 juta dalam bungkusan pakaian baharu gagal
Angkasawan NASA dibenar bawa telefon pintar terkini dalam misi ke bulan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Jadi duta pelancongan tanggungjawab berat, namun ia satu tuah - Fan Bingbing

Bernama
Bernama
16/06/2024
08:15 MYT
Jadi duta pelancongan tanggungjawab berat, namun ia satu tuah - Fan Bingbing
Fan Bingbing berkata Melaka merupakan satu destinasi pelancongan yang unik dan berbeza dengan kebanyakan tempat pelancongan terkenal yang lain. -Gambar fail/Artiste Manager, Jersey Chong
MELAKA: Bintang antarabangsa Fan Bingbing menyifatkan peranan sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka 2024 yang digalasnya adalah satu tanggungjawab yang amat berat, namun pada masa yang sama beliau menganggap ia sebagai satu tuah.
Beliau berkata Melaka merupakan satu destinasi pelancongan yang unik dan berbeza dengan kebanyakan tempat pelancongan terkenal yang lain.
"Bagi saya ini satu penghormatan sebenarnya (untuk dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka 2024)... selepas pandemik (COVID-19) fikiran amat tidak tenang, dan saya pun tidak keluar negara melancong.
"(Bagaimanapun) pelancongan selepas pandemik kembali meriah (dan) orang ramai pasti akan memilih tempat yang mereka belum pernah kunjungi," katanya kepada pemberita dalam Bahasa Mandarin yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, ketika ditemui di sini hari ini.
Fan yang berada di sini sejak Jumaat selepas dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka 2024 bagi mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berkata, sejarah panjang antara Melaka dan China menjadi antara penyebab beliau memilih negeri ini sebagai destinasi pilihannya untuk melancong.
"Orang China boleh mengaitkannya dengan budaya Melaka kerana sejarah Melaka amat menonjol (di China) serta ramai orang Melaka yang boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin.
"Pelancong (China) yang datang ke Malaysia tidak perlu risau kerana orang tempatan di sini pun fasih berbahasa Mandarin, selain Melaka juga mempunyai persamaan dengan wilayah Yunnan di China kerana kedua-duanya kaya dengan peninggalan sejarah," katanya.
Beliau mengaku pada mulanya mengenali Malaysia menerusi seorang rakan sekerjanya yang banyak berkongsi maklumat mengenai negara ini, dan ia mencetuskan rasa teruja untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di sini.
"Malaysia tidak asing bagi saya kerana ada seorang rakan sekerja saya orang Malaysia... kami telah bekerjasama untuk beberapa tahun dan dia sering berkongsi maklumat mengenai Malaysia.
"Saya juga berminat untuk menjalani kehidupan di Malaysia. Kalau ada peluang nanti, saya juga ingin melawat dan singgah di Kuala Lumpur, banyak bangunan tinggi.
"Malaysia pun ramai pelakon dan pengarah filem berbakat, saya juga berharap dapat bekerjasama dengan mereka suatu hari nanti," katanya.
Fan yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.
Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, 'X-Men: Days of Future Past', selain filem Perancis dan Korea.
Pada 2017, Fan menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Fan Bingbing
#Duta Setiakawan Pelancongan Melaka
#pelancongan
#peninggalan sejarah
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan